Esok Mentari Kan Bersinar Dan Diri Ini Akan Bahagia

"Perbaiki diri anda, maka Allah akan redha terhadap anda."

Jangan berputus asa kerana putus asa adalah keingkaran.
Barangkali saja dalam waktu yang dekat, Allah akan memberikan kelapangan.

Apakah anda pernah mendengar tentang wanita dari Juhaniyah yang tergelincir jalan hidupnya kemudian dia berzina? Lalu dia mengingati Allah dan segara bertaubat kepadaNya. Dia menghadap Rasulullah SAW agar segera dihukum rejam agar menjadi suci dari dosanya itu. Dia datang dalam keadaan hamil kerana berzina, seraya berkata:"Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku telah melanggar satu hukum had, maka hukumilah aku!" Kemudian Rasulullah SAW memanggil walinya seraya berkata:"Berlaku baiklah kepadanya. Bila dia telah melahirkan, maka bawalah dia ke mari lagi."

Akhirnya ketika wanita itu kembali lagi, Rasulullah SAW pun memerintahkan agar wanita itu direjam dan wanita itu mati kerana hukum rejam tersebut. Setelah itu beliau solat atas jenazahnya.

Melihat perkara tersebut, Umar RA bertanya:"Apakah engkau solat atas dia, padahal ia telah berbuat zina?" Beliau menjawab:"Sesungguhnya ia telah bertaubat yang jika (pahala) taubatnya dibahagi untuk tujuh puluh orang penduduk Madinah, nescaya akan mencukupinya. Apakah engkau menemukan yang lebih baik daripada penyerahan jiwa kepada Allah?"

Sesungguhnya apa yang dilakukannya terdorong oleh kekuatan imannya sehingga membuatnya berani membersihkan diri dan memilih pahala di kemudian hari daripada kesenangan yang segera. Seandainya dia seorang wanita yang tidak kuat imannya, nescaya tidak akan memilih mati melalui hukuman rejam. Barangkali ada yang bertanya:"Mengapa dia sampai berbuat zina, padahal tiada yang melakukannya, kecuali hanya orang yang lemah imannya?" Sebagai jawapannya, dapat dikatakan bahawa sesungguhnya manusia itu adakalanya lemah sehingga terjerumus ke dalam perbuatan yang dilarang, sebab dia memang diciptakan dalam keadaan lemah.

Namun ketika benih keimanan tumbuh dalam hatinya dan menjadi pohon rendang yang akar-akar tertancap kuat, ia akan menampakkan kemurniaan dan keyakinan yang kuat. Perkara itulah yang mendorong wanita itu segera menghadap Rasulullah SAW untuk memohon agar dirinya disucikan. Dan dia telah berjaya menyucikan rohnya demi menggapai redhaNya, rahmatNya dan ampunanNya.